SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI SEKOLAH KEBANGSAAN BELIPAT..AHLAN WASAHLAN WA MARHABAN BIKUM

Tuesday, March 8, 2011

Gotong-royong Bersama Penduduk Kampung







6 Mac 2011, Ahad - Bersempena dengan persediaan sambutan Majlis Tadarus Al-Quran Peringkat Sekolah rendah dan menengah Lawas, pihak sekolah SK Belipat telah mengadakan gotong-royong bersama penduduk kampung sekitar untuk membersihkan dan menceriakan kawasan sekolah. Sambutan daripada penduduk amat menggalakkan terutama daripada kaum ibu dan bapa kerana seawal 8 pagi lagi, kelihatan mereka telah memulakan tugas membersihkan kawasan sekitar belukar di belakang sekolah, manakala kaum ibu pula sibuk mengecat dinding serta pasu bunga. Acara yang dihangatkan lagi dengan kehadiran guru, mengeratkan lagi silaturahim yang sudah terjalin. Aktiviti berakhir pada 12.00pm tengah hari. Para penduduk serta guru dijamu dengan jamuan ringan. Jutaan terima kasih diucapkan kepada yang terlibat khususnya penduduk kampung yang bermurah hati menyumbangkan tenaga tanpa berasa letih. Diharap kerjasama seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.




Hadiah Anakku Sayang



4 Mac 2011 - Pihak sekolah dengan berbesar hati menghadiahkan hadiah 'Anakku Sayang' kepada dua orang guru iaitu Ustaz Sizear Bin hassan serta Puan Surajni Binti Rozie kerana telah mendapat anak pada tahun 2010. Hadiah yang diberi adalah sebagai tanda kesyukuran di atas kelahiran bayi baru dalam keluarga mereka.

Wednesday, March 2, 2011

Keceriaan (Persediaan MTAQ 2011 peringkat daerah Lawas)







2 Mac 2011, Rabu - Semua kakitangan SK Belipat mengadakan aktiviti keceriaan sempena persediaan menyambut Majlis Tilawah Al-Quran 2011 peringkat daerah Lawas. Sebagai pengelola, SK Belipat telah membuat persediaan lebih awal dengan mengadakan gotong-royong menceriakan persekitaran sekolah. Aktiviti yang bermula pada pukul 2.30pm selama dua jam sehingga pukul 4.30pm. Semua yang terlibat adalah terdiri daripada kakitangan sekolah beserta murid-murid. Aktiviti dibahagikan kepada beberapa kumpulan, kumpulan murid telah ditugaskan memungut sampah di sekitar Dewan Kampung Belangsat, kumpulan guru perempuan pula dipertanggungjawabkan mengecat tiang laluan pejalan kaki, manakala guru lelaki pula terlibat dengan latihan kompang untuk persediaan acara Kompang Selawat yang merupakan salah satu acara yang akan dipertandingkan nanti. Kerjasama daripada semua kakitangan amat memuaskan. Bak kata pepatah ' ringan sama dipikul, berat sama dijinjing'. Semoga usaha ini akan membuahkan hasil.






Bolasepak MSSRD 2011








Pada 24 Februari 2011, bersamaan hari Isnin, pihak sekolah telah menyertai pertandingan bolasepak antara sekolah-sekolah rendah peringkat daerah Lawas. Rombongan seramai 13 orang pemain beserta dua orang jurulatih serta seorang guru pengiring, telah menyertai pertandingan tersebut yang bertempat di padang SK Punang. Sebanyak 16 buah sekolah rendah sekitar Lawas telah menyertai pertandingan itu. Pasukan SK Belipat telah diundi dalam perlawanan yang keempat bersama dengan gabungan sekolah SK Long Tukun, SK Puru Sia, dan SK Tang Lapadan. Walaubagaimanapun, kemenangan tidak memihak kepada SK Belipat dengan kekalahan nipis 0-1 kepada pihak lawan. Hasil daripada perlawanan memerlukan pihak sekolah SK Belipat untuk mengatur strategi pada tahun hadapan, agar kekalahan tidak berulang lagi. Semoga, tahun ini dapat menjadi iktibar untuk tahun hadapan buat skuad bolasepak SK Belipat.


Maulidur Rasul 2011




Pada 14 Februari 2011, bersamaan hari selasa. Perarakan Maulidur Rasul telah diadakan di peringkat daerah kecil Lawas. Pihak sekolah telah mengambil bahagian dengan aktiviti perarakan pada hari tersebut. Seawal 7.30am, semua kumpulan terdiri daripada peringkat, kampung, jabatan kerajaan dan madrasah telah berkumpul di depan Hotel Seri Malaysia untuk bersedia berarak ke pentas utama. Pihak sekolah yang terlibat adalah terdiri daripada guru-guru, guru-guru Kafa, staf sokongan dan juga murid tahun 5 dan tahun 6. Pertandingan sepanduk pada tahun ini walaupun tidak memenangi sebarang tempat, tetapi penyertaan daripada semua staf serta kerjasama yang ditunjukkan telah cukup mengembirakan pihak yang terlibat. Semoga aktiviti seperti ini dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan agar dapat melahirkan masyarakat yang bersatu, sejajar dengan slogan Maulidur Rasul pada tahun ini "Satu Malaysia, Satu Ummah".